Wednesday, 23 September 2015

BERAT

Hujan turun selebat-lebatnya di tanah barakah itu. Awan melimpahkan sebanyak-banyaknya air yang telah penat dikandungnya sejak beberapa minggu yang lalu. Benar, sudah berminggu hujan tidak menimpa tanah itu. 

Angin juga menderu dengan kencang sekali hingga berjaya menggoncangkan pokok-pokok besar yang menghiasi kawasan sekolah. Bumbung bangunan turut menghasilkan bunyi yang agak menggerunkan kesan daripada perubahan tekanan di antara tekanan udara yang tinggi di dalam bangunan dan tekanan udara rendah yang dihasilkan oleh deruan angin yang laju.

Persekitaran sekolah sunyi tanpa penghuni. Mungkin semua pelajar sudah berada di asrama. Namun, di satu sudut kelihatan seorang pelajar, bersendirian. Dia duduk di atas kerusi batu tidak berbumbung yang terletak bersebelahan dengan padang. Keadaan sekeliling langsung tidak diendahkannya. Badannya yang basah dek hujan turut dibiarkan. Tudung yang berterbangan mengikut deruan angin juga tidak dihiraukan.

Dia menangis. Menangis semahunya. Meluahkan segala rasa yang terbuku di dalam qalbu. Deras air mata yang menitis sederas turunnya air hujan. 

"Kenapa? Kenapa?"

Dalam sendu dia menutur.

"Kenapa mesti dia? Kenapa tak orang lain? Kenapa?"

Memori lampau diimbas kembali.


*****

Debaran kian terasa. Nama-nama yang akan disebutkan untuk naik ke atas pentas bukan calang-calang orang. Mereka dipandang tinggi, disanjung dan dihormati oleh semua warga sekolah ini. Bukan sahaja dalam kalangan pelajar, tetapi dalam kalangan guru juga. 

Merekalah yang akan mengawal sekolah ini. Naik turunnya tarbiyah terletak di tangan mereka. Fuh! Tidak dinafikan inilah jawatan yang paling berat sekali. Hanya mereka yang layak dan sebenar-benar layak sahaja mampu memegang gelaran ini. Merekalah... Majlis Tertinggi.

Safiyya menggoyang-goyangkan kakinya menahan gemuruh. 
'Nama siapa yang bakal disebut? Siapa yang bakal naik ke atas pentas? Takutnya~'

Muka diraup perlahan. 

"Tolonglah jangan dia. Tolonglah."

Dia memasang harapan. Hakikatnya dalam hatinya sudah terdetik bahawa nama insan itu akan disebut. Namun, dia masih mencuba untuk menafikannya.

Nama pelajar terpilih sudah mula disebutkan mengikut jawatan. Hatinya tidak keruan. Pentas direnung tajam. Dia menanti dengan penuh sabar.

"Khayra binti Alif."

Akhirnya, hakikat sudah memunculkan diri. Ya, nama itulah yang paling dia takuti untuk diumumkan. 

Safiyya terus tunduk menahan sebak. Bergetar hatinya saat nama itu diumumkan. Empangan air mata yang tadinya cuba ditahan, pecah. Sungguh, dia sakit. Dia tak mampu. Tak mampu menerima apa yang telah didengarnya.

Kerana dia tahu, mulai saat itu, dia dan sahabatnya baiknya pasti memiliki jurang. Jurang perbezaan yang sangat ketara kerana dia hanyalah pelajar biasa. Sedih meresap jiwa kerana bimbang jika jawatan itu akan membuatkan Khayra berubah. Akan membuatkan mereka renggang. Akan merampas Khayra daripada dirinya. Dia tidak sanggup menghadapi semua itu. Kerana Khayra lah segala-galanya bagi dirinya.

Dia juga risau. Risau kerana tanggungjawab Khayra yang berat. Risau jika jawatan itu akan membawa sahabatnya ke neraka. Allah~ Makin laju air matanya membayangkan hal itu.

Hari demi hari berlalu. Safiyya masih lagi berduka. Setiap saat, setiap detik, terbayangkan Khayra. Hampir setiap malam dia menangis. Setiap malam! Dia sendiri bingung mengapa dia rasa begitu sayu bila mengenangkan jawatan yang disandang Khayra. Jika dikatakan cemburu, jauh sekali. Lebih kepada rasa kehilangan ibarat sebahagian daripada kegembiraannya dibawa pergi. Jauh~

Dia menunggu Khayra di biliknya seperti biasa. Seperti hari-hari sebelumnya. Namun, penantiannya sia-sia. Khayra tidak muncul walaupun ketika itu sudah menginjak pukul 1 pagi. Sibuk dengan urusan Majlis Tertinggi mungkin. Dia akur.

Perkara ini berlanjutan sehingga beberapa hari. Hati Safiyya ibarat luka disapu dengan garam. Makin sakit! Makin pedih!

Pada suatu hari, Safiyya melihat Khayra sedang berehat di hadapan musolla. Senyuman manis terukir di bibir Safiyya. Sudah lama benar dia tidak menegur sahabatnya itu. Dengan laju dia melangkah ke arah Khayra.

"Khayra!" Dia terus duduk di kerusi bersebelahan Khayra.

"Hei, Safiyya."

"Sibuk sekarang. Sampai ana pun Khayra dah....." 

Tiba-tiba, seorang kakak senior melangkah menghampiri mereka. Dia memanggil Khayra. Ada perkara yang perlu diselesaikan mereka. Khayra pun berlalu pergi setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Safiyya.

"Ana pergi dulu. Ada hal. Maaf."

"....lama tak tegur."


Dia berlari. Cuba melarikan diri daripada rasa ini. Hakikatnya, kata-kata boleh berdusta tetapi hati tidak. Hati cuba ditenangkan dengan berjalan di sekitar sekolah. Awan gelap tika itu sudah memunculkan diri. Dia tidak kesah. Langkah masih diteruskan tanpa hala tuju.

Akhirnya dia memutuskan untuk duduk di kerusi batu di sebelah padang. Pawana yang bertiup ibarat tangan yang membelai dirinya. Ketenangan cuba dicari dengan membiarkan diri sebati dengan alam. Rintik-rintik air hujan mula turun membasahi bumi. Hatinya menjadi sayu. 

Bagi dia, hujan mempunyai satu aura yang tidak mampu diungkap dengan kata. Sekadar boleh dirasai oleh hati. Dengan tidak semena-mena, air matanya gugur.


*****

Seorang insan hadir di sisi Safiyya dan melindunginya dengan payung. 

"Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dia ambil orang yang kita sayang mungkin sebab dia nak kita bergantung kepada-Nya, bukan pada makhluk."

Safiyya mengangkat muka memandang empunya bicara.

"Tapi ana tak tahu macam mana nak atasi rasa sedih ni."

"Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Kembalilah kepada Allah. Insya-Allah ketenangan dapat dicapai."

Lengan Safiyya ditarik lembut.

"Jom balik. Dah basah kuyup ni. Demam nanti."

Safiyya menurut. Mereka berjalan beriringan pulang ke asrama. Bahu Safiyya dipeluk kemas sepanjang perjalanan. Safiyya menoleh ke arah insan tersebut.

"Terima kasih, sahabat." 


2 comments:

Anonymous said...

Hem... ok.. sedeh lak.. tapi. . So far ok lah. Watak perempuan diguna sebaiknye..����well done!!

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.