Pen ditangan dipusing-pusingkan. Soalan Matematik Tambahan di atas mejanya tidak berganjak sejak setengah jam yang lalu. Fikirannya tidak tenang. Aishh.. tak boleh jadi ni.
"Nabilah, aku keluar kejap tau." Setelah mendapat respon daripada sahabatnya terus Iffah bergerak menuju ke taman berdekatan kelasnya.
Kerusi batu yang menghiasi taman itu menjadi sasaran. Keluhan berat dilepaskan. Namun, tidak mampu meredakan kekusutan dalam fikirannya.
Dia menghalakan pula pandangan ke langit. Kosong. Gelap. Tapi indah. Akan jadi lebih indah kalau hadirnya sang bulan. Ketiadaan rembulan pada malam ini sedikit sebanyak menyuramkan suasana. Seperti suramnya perasaan Iffah pada ketika ini.
Lama dia merenung, mencari jawapan. Adakah dia jadi sebegini kerana Atif? Adakah kerana dia telah mengetahui musibah yang menimpa Atif? Mungkin. Mungkin itulah jawapannya.
Perbualannya bersama dengan Nabilah pada petang tadi diputar kembali di dalam memori.
"Fah, tahu tidak yang Atif masuk hospital?" Tersentak Iffah mendengar berita daripada Nabilah.
"Yeke? Patutlah dah lama dia tak datang sekolah. Kenapa?"
"Dengar cerita, katanya kepala dia terhentak batu. Tapi tak tahu pulak macam mana."
"Astaghfirullah."
Hatinya menjadi sebak apabila teringatkan Atif. Kecederaan di kepala bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Berkemungkinan boleh meragut nyawa. Nauzubillah.
"Ya Allah, kau sembuhkanlah Atif. Engkau jualah yang memiliki segala kekuatan, kurniakanlah sebahagian kekuatanMu kepada Atif, Ya Allah..."
Bersungguh-sungguh Iffah melafazkan doanya dengan penuh pengharapan agar Atif kembali sihat seperti sediakala. Dengan titisan air mata dia bermohon.
Dia meraup muka sambil menyeka tangisan di pipi. "... amin Ya Rabbal'alamin."
*****
Muqri mengangkat gagang telefon awam di sekolah lalu mendail suatu nombor. Tett.. tett.. Sambil dia menunggu panggilannya bersambut, disapa matanya melihat persekitaran sekolah.
Tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang bidadari dunia sedang berjalan ke arahnya. Tapi kenapa wajah bidadari itu suram je malam ni? Tett.. Tet. "Hello, assalamu'alaikum makcik." Fokusnya kembali kepada tujuan asalnya dia di situ.
"Eh, Iffah." Tangan Iffah disiku perlahan. "Tu bukan kawan baik Atif ke?"
"Mana?"
"Tu, yang dekat public phone tu."
"Hmm.. Ntah. Yelah kot." Kepala yang tadi diangkat kembali dihala ke bawah. Melayan jiwanya yang gundah.
"Ish kau ni. Diaorang kan sekelas dengan kau, takkan tak tau kot."
"Sori.." Sepatah kata itu je yang mampu dibalas kepada Nabilah.
"Makcik, Atif apa khabar?"
"..."
"Yeke makcik? Atif dah sedar?!" Kebetulan ketika itu Iffah dan Nabilah sedang berjalan di belakang Muqri.
Iffah yang terdengar akan perbualan Muqri dengan mak Atif serta-merta menoleh ke arah Nabilah.
"Nabilah! Dia sebut nama Atif ke tadi?"
"Aku rasa aku pun dengar jugak."
"Kita tunggu kejap. Nak cakap something lah dekat Muqri." Mereka menunggu tak jauh dari kedudukan Muqri.
"..."
"Alhamdulillah, Ya Allah. Lega saya dengar. Makcik kalau saya nak melawat dia nanti, boleh?"
"..."
"Insya-Allah hujung minggu ni saya datang ye. Kirim salam saya dekat Atif, makcik. Assalamu'alaikum." Gagang telefon diletak setelah salamnya dibalas.
Baru sahaja hendak melangkah pulang ke asrama, dia dihalang oleh dua orang puteri.
"Ermm.. Muqri." Bidadari dunia itu mula bersuara.
"Ye saya."
"Nak tanya ni, urmmm... macam mana nak cakap eh urmm..." Nabilah di sebelah dipandangnya. 'Tolonglah aku'. Dia sekadar menjongkitkan bahu. 'Aku tak tahu pun kau nak cakap apa.' Berbahasa isyarat pula mereka ni.
"Sebenarnya nak tanya pasal Atif. Dia ok ke?"
Ohh.. tegur aku sebab nak tanya pasal Atif ke. Patutlah suram aje muka. Risau agaknya. "Alhamdulillah, dia dah sedar."
Bersinar-sinar mata Iffah mendengar jawapan Muqri. "Yeke?! Alhamdulillah."
"Ha.. oklah. Nak tanya tu je. Terima kasih." Iffah dan Nabilah pun bergerak pulang meninggalkan Muqri.
Tak lekang senyuman dari bibir Iffah. Lega benar rasa hatinya. Kekusutan yang dirasakan tadi seakan sudah hilang, terbang melarikan diri.
"Amboi, Fah. Tadi kemain gaya macam mayat hidup. Ni sengih macam bulan jatuh ke riba ni apasal?" Tegur Nabilah.
"Hehe.. takda apa-apa. Tiba-tiba aja rasa seronok. Alhamdulillah."
Muqri juga melangkah pulang dengan senyuman segaris.
'Bidadari suram kini telah kembali bersinar setelah mendengar keadaanmu yang semakin pulih, Atif. Nampaknya engkau adalah pemegang semangat bidadari duniaku. Tahulah aku bahawa dalam hatinya ada dirimu. Tidak mengapalah, asalkan dia gembira, sudah cukup untuk membuatkan aku tersenyum. Cepat kembali ya, sahabat.'
Langkah kaki diteruskan dengan perasaan yang bercampur-baur. Sungguh dia tidak mampu mentafsir apa yang dirasakannya pada ketika ini.
Sesunggunya HANYA Cinta Allah itu yang hakiki dan abadi.. Cinta yang tidak akan membuatkan kita kecewa selamanya.. Strive for His Love and Mardhatillah
Wednesday, 16 March 2016
Friday, 11 March 2016
HATI & DOA
"Jangan simpan seseorang itu di dalam hati kerana hati itu sifatnya berbolak balik, simpanlah dia di dalam doa kerana doa akan tercatat di langit"
#####
Sampul surat yang baru sahaja diterima kugenggam kemas. Hati menjadi tidak tenteram. Kata-kata yang didengar tadi masih terngiang-ngiang di ingatan.
"Nah." Surat bersampul putih dihulur. Tangan Farisya perlahan-lahan menyambut huluran lelaki itu.
"Jemputlah datang. Assalamu'alaikum." Dan dia pun terus berlalu pergi membelah kesunyian pada petang itu.
Farisya masih kaku disitu dengan tangan kejap memegang surat. Kalau tidak dibuka pun sampul itu dia sudah dapat meneka apa isinya. Walimatulurus.
Dengan senyuman pahit terukir di bibir, air matanya jatuh bercucuran membasahi bumi.
*****
"Weh, nak tau something tak?" Farisya mencuit Nadia aka friend till jannahnya.
"Mende?"
"Adumak... Segan pulak nak cakap ni."
"La.. Rileks la. Aku je pun. Dengan aku pun nak segan ke."
"Ok macam ni. Hmmm.. Aku rasa aku suka seorang budak lelaki ni la."
"Yeke? Siapa?"
"Hehe.. Adalah"
Nadia mencubit pinggang Farisya. "Ei.. Mengadanya. Geram pulak rasa."
"Saja je nak bagitahu sebab kau kan sahabat aku."
"Hmmm. Kau agak en Sya, rasa suka ni boleh kekal sampai bila?"
"Entah. Hati kan senang berbolak-balik. Sekejap suka, sekejap tak suka."
"Kan..sebab tu aku nak share ngan kau satu tips ni. Kalau kau suka kat someone en, jangan simpan dalam hati, apatah lagi kalau kau bagitahu kat orang. Kalau betul kau suka dia, kau sebut je nama dia dalam doa kau. Sebabnya doa tercatat di langit. Walaupun dia tak tahu kau suka dia, tapi Allah tahu."
*****
Langkahan kaki pantas merentas dewan terbuka itu. Jam di tangan dilirik sekilas. Sudah pukul 11 pagi. Banyak lagi kerja yang tak siap ni. Kena cepat naik kelas selesaikan semua kerja.
"Farisya!"
Langkah yang sedang menuju ke kelas serta merta berhenti. Siapa pulak yang menyeru nama aku ni? Kepala dikalih ke arah suara itu. Farish?
"Cari pasal ke apa panggil nama orang tengah-tengah COE ni. Kang tak pasal-pasal jadi isu pulak." Matanya meliar melihat sekeliling bimbang-bimbang ada pelajar lain di situ. Fuh, nasib baik ada mereka berdua je.
"Rileks. Tak ada orang. Nak mintak tolong boleh?" Senyuman yang paling ikhlas diberikan Farish.
"Nak apa?" Dengan muka toya dia menutur. Hakikatnya, dalam hati dia berbisik. 'Untuk kau semua boleh, Farish.' Tapi, ayat tu hanya bermain di dalam kepala sahaja. Gila nak cakap depan-depan. Buat malu je nanti.
"Ni.. nak mintak tolong panggilkan ketua kumpulan basket muslimat. Cikgu nak jumpa kat bilik cikgu."
Adumak.. aku ada nak buat kerja kat kelas, budak tu dekat asrama pulak. Jarak antara asrama dengan sekolah bukannya dekat. Hmmm.. tapi sebab kau yang mintak kan, "Haa.. yelah. Nanti aku panggilkan."
*****
Malam kian gelap. Langit kelihatan indah dengan hadirnya rembulan yang bersinar terang menerangi bumi. Turut hadir kerdipan bintang yang menemani sang rembulan. Subhanallah, cantiknya langit pada malam ini.
Asyik rasanya duduk di tengah-tengah gelanggang asrama ni menyapa pandangan melihat angkasaraya yang terbentang luas. Mata dikalih ke sebelah.
"Nah." Mardhiyyah yang baru sahaja melabuhkan duduk menghulur sekotak air.
Tangan Farisya pantas menyambut huluran itu. "Terima kasih, awak."
"Sama-sama. Demi awak, lautan api pun rela saya redah."
"Allah.. dah dah. Merepek betul. Haa.. cepatlah cerita. Kata tadi ada benda nak luahkan. Kita dua duduk tengah-tengah alam ni bukannya saja-saja. Nak share something en?"
"Hehe.. ingatkan dah lupa."Air kotak miliknya disedut. Farisya sekadar menggelengkan kepala. Budak ni la, kalau nak ngelat nombor satu.
"Aku ada masalah hati ni." Farisya tidak membalas memberikan ruang untuk Mardhiyyah bercerita. Dia mendongakkan kepala menghadap langit sambil kaki dilunjurkan. Santai.
"Ada seorang muslimin ni konfess kat aku yang dia suka aku. Tapi aku takda apa-apa perasaan pun kat dia."
Mendengarkan hal ini, Farisya jadi tertanya-tanya. "Siapa muslimin tu?" Tolonglah jangan kata Farish sebab Mardhiyyah agak rapat juga dengan Farish kerana mereka bersama-sama menguruskan pasukan bola keranjang sekolah.
"Urmmm.. Farish."
Ah, sudah. Ibarat ada sebilah pisau menghiris hati Farisya pada ketika itu. Namun, dia berjaya mengawal riak mukanya agar apa yang dirasakan tidak berjaya dizahirkan. Matanya tajam memandang bintang di langit, menahan luka di hati. "Ohhh.. dia cakap macam mana?"
Mardhiyyah pun menceritakanlah bagaimana perkara itu diluahkan oleh Farish. Dan andaian Farisya benar kerana semuanya sememangnya bertitik tolak daripada hubungan mereka di dalam pasukan bola keranjang.
Malam yang tadinya kelihatan indah kini menjadi suram. Sinaran rembulan yang terang itu tidak mampu menerangi hati Farisya yang kini gelap dengan kesedihan. Dia menangis sendiri di dalam hati.
Hari-hari yang mendatang terasa amat sukar. Selaku pemain bola keranjang sekolah pastinya dia perlu hadir ke latihan pada setiap hari. Dan ini juga bermakna dia perlu berhadapan dengan Mardhiyyah, Farish dan hakikat yang sebenarnya Farish tidak mempunyai perasaan terhadapnya malahan mempunyai rasa terhadap insan yang dia gelarkan sahabat.
Pada suatu hari, seusai latihan Farisya tidak terus pulang ke asrama sebaliknya bergerak ke kelasnya. Jiwanya yang terluka perlu dibawa lari dari punca kesakitannya. Dia perlu duduk sendirian mencari kekuatan, lalu dia pun duduk di tempatnya di dalam kelas cuba untuk menenangkan hati.
Namun, rasa sakit itu tak mampu dia bendung lagi. Kepala diletakkan di atas meja. Tidak lama selepas itu, dia menangis. Farisya menangis semahunya. Air mata yang ditahan selama berhari-hari kini dilepaskan. Basah sudah mejanya dengan air mata. Lama kelamaan dia tertidur.
Dalam tidurnya, seakan-akan dia merasakan kehadiran seseorang di situ. Kehadiran yang sepertinya mahu memujuk hatinya yang duka. Namun, sengaja dia mengabaikan perasaan tersebut kerana dia sedar yang perkara itu hanyalah perasaannya sahaja. Mustahil ada insan lain yang mengetahui kehadirannya di situ.
Farisya menahan rasanya seorang diri. Cukuplah hanya Allah sahaja yang mendengar nama Farish di dalam doanya. Cukuplah hanya Allah yang tahu apa yang dia rasa. Cukuplah hanya Allah sahaja.
#####
Farish sedang tekun menghadap laptop ketika Aidil hadir menyapanya.
"Tengah buat apa tu?"
"Tengah siapkan pasal bola keranjang ni."
"Yeke.. Weh, sambil tu jawab pantun aku ni, boleh?"
"Aduh, susah betul duduk sebilik dengan budak pantun ni. Sikit-sikit suruh jawab pantun."
"Tolonglah, kalau bukan dengan kau, aku nak praktis dengan siapa lagi."
"Ha yelah. Apa soalannya?" Mata Farish masih lagi tidak beralih daripada laptop.
Aidil berdehem melegakan tekaknya. "Dengarkan soal hamba,
Diperdu berangan duduk bentara,
baca azimat jampi dilontar,
Bertaut pandangan pada si dara,
Apa dibuat rusuk bergetar?"
"Peh soalan, kemain eh. Jap eh aku pikir jawapan dalam bentuk pantun jugak. Ha, ni dia. Dengarkan pula jawab hamba ya,
Bunga dahlia jadi kenangan,
hadiah pemuda si anak jawa,
Jika sedia hantarlah pinangan,
Andai si dia menenangkan jiwa."
Aidil bertepuk tangan. "Wah, hebat jugak kau buat pantun eh."
"Well, aku semua boleh. Haha.. acah je. Kau tanya ni, ada maksud apa-apa ke?"
"Kau jawab tadi hantar pinangan en, so, aku rasa aku dah aim lah nak hantar minang kat siapa." jawab Aidil sambil tersengih.
"Amboi, awalnya pikir pasal benda ni."
"Kita kena doa dari awal kan."
"Siapakah gerangan yang istimewa tu?"
"Kena ke bagitau kau?" Kening sebelah diangkat Aidil.
"Ala.. bagitau jelah. Aku kan dormate kau. Bagitau lah..." Farish memandang Aidil dengan penuh pengharapan.
"Yelah-yelah. Farisya gerangannya."
"Ohh.. dia ke." Tidak bernada Farish membalas.
"Kau kenal kan? Budak basket?"
"Kenal." Kenal sangat. Sekadar ditutur di dalam hati ayat sambungannya itu.
Mata Aidil melihat jam di dinding bilik mereka. 12.30 pagi. "Weh, dah pukul dua belas setengah kot. Aku tidur dulu." Bahu Farish yang masih membuat kerja ditepuknya perlahan.
"Ok."
Farish berasa tidak tenang setelah mendengar pengakuan daripada Aidil itu. Haish, jangan kata aku ada perasaan dekat Farisya tu. Makin diulang-ulang di dalam kepala ayat yang dikatakan Aidil tadi makin membara pula hatinya.
Kenapa baru sekarang yang aku sedar kehadiran Farisya? Kenapa baru sekarang aku rasa macam ni? Kenapa baru sekarang aku akui yang aku suka dia? Kenapa baru sekarang? Kenapa? Mungkin selama ni aku ego dengan diri aku sendiri dan menafikan perasaan aku terhadap dia.
Aduhai, sekarang semuanya sudah terlambat. Aidil dah berniat macam tu, takkan lah aku mahu kacau pulak. Hati, kuatlah.
*****
Hari demi hari berlalu. Sakit yang dirasakan Farish semakin lama turut semakin menghilang dengan berlalunya waktu. Tapi, sisa-sisa masih tetap ada berparut jauh di dalam hati.
Kehadiran Mardhiyyah yang mengisi harinya dianggap sebagai penawar. Lalu, dengan senang dia mengungkapkan perasaannya, menggantikan Farisya di dalam hatinya dengan Mardhiyyah.
Sejak dari hari dia meluahkan perasaannya kepada Mardhiyyah, dia mendapati kelakuan Farisya lain daripada kebiasaan. Dia kini lebih murung berbanding dahulu yang sangat ceria.
Sehinggalah pada suatu hari, Farish ternampak Farisya yang menuju ke kelasnya selepas habis latihan bola keranjang. Dia dengan perlahan mengekori Farisya ke kelas tanpa disedari sesiapa.
Sayu hatinya melihat Farisya menangis teresak-esak di dalam kelas. Dia yang mengintai daripada luar hanya mampu memberikan pandangan simpati kepadanya. Niat di hati mahu saja ditanya mengapa dia jadi begitu. Mahu saja dia berkongsi kesedihan yang dialami Farisya.
"Farish, kenapa aku rasa sakit sangat ni.." Dalam esak Farisya menuturkan ayat itu.
Farish tersentak. Ya Allah, betulkah apa yang aku dengar ni? Adakah sebenarnya Farisya turut suka kepada aku? Ya Allah~
Dia segera beredar daripada situ dengan perasaan yang bercampur baur. Terasa bahagia namun menyesal. Bahagia kerana Farisya turut menyukainya tetapi segalanya sudah terlambat. Dia telah memberikan harapan kepada Mardhiyyah dan dia juga tidak mahu melukakan hati sahabatnya, Aidil sekiranya dia tahu mengenai perasaan Farisya.
Kini, apa yang dia mampu hanyalah berdoa untuk kebahagiaan Farisya dan kebahagiaan dirinya.
*****
Sampul surat putih itu digenggam kemas. Surat ini khas buat si dia. Lain daripada yang lain kerana baunya lebih semerbak berbanding dengan surat lain.
"Assalamu'alaikum, Farisya." Farish menyapa Farisya yang sedang duduk di kerusi taman itu.
Farisya menoleh, "Nah." Lalu dihulurnya surat itu kepada Farisya. Farish dapat membaca apa yang tersirat di hatinya setelah menerima surat itu.
"Jemputlah datang. Assalamu'alaikum." Dan Farish pun berlalu pergi.
Bukan niat Farish untuk menyakiti Farisya tetapi, dia yakin yang Farisya lebih sesuai untuk berganding dengan Aidil. Oleh sebab itulah dia rela mengundur diri demi sahabatnya.
Farish memasuki kereta. Lama dia duduk termenung di kerusi pemandu. Kuatlah hati, mungkin inilah yang terbaik untuk kita semua. Air mata Farish turut jatuh membasahi pipinya kerana hakikatnya bukan mudah untuk dia merawat segalanya.
Inilah bayaran yang harus diterima dalam menghadapi fitrah manusia. Penting untuk kita menjaga fitrah kita itu dengan sentiasa memohon kekuatan daripada Ilahi bagi menghadapinya. Dan aturan Allah itu jualah yang terbaik untuk hamba-Nya. Have faith.
Subscribe to:
Posts (Atom)