Thursday, 26 November 2015

INDAHNYA IMAN 18

Dia memandang sekeliling. Kosong. Yang dilihatnya kini hanyalah ruang kosong yang berwarna putih. Tiada langsung objek yang wujud melainkan hanya dirinya.

"Aku kat mana ni?"

Dia memalingkan pula badan ke belakang. Mungkin akan terjumpa jawapan kepada persoalannya. Huh! Dia hampa. Pemandangan yang sama juga dilihatnya.

"Ya Allah, apa aku nak buat kat sini?"

"Atif.."

Bulu romanya terus tegak mendengar namanya diseru. Siapa tu? Matanya meliar mencari empunya suara. Namun, tidak kelihatan pula kelibat manusia di situ.

"Perjalanan kau masih panjang, Atif. Masih banyak lagi yang kau perlu lakukan.."

"Siapa engkau? Tunjukkan diri kau."

"Tidak perlu untuk kau ketahui siapa aku. Cukuplah kau mengingati nasihatku ini."

"Tapi aku perlukan keyakinan. Aku nak tau siapa kau."

Tiba-tiba dari kejauhan muncul bayang-bayang orang sedang melangkah ke arahnya. Makin lama semakin hampir. Orangnya berpakaian putih, berserban putih turut berjanggut putih.

Insan itu melemparkan pandangan ke arahnya. 

"Sudah yakin?" Soalan ditujukan kepada Atif.

Dia menggeleng. "Siapa pakcik?"

Dengan senyuman, pakcik itu membalas, "Pakcik hanyalah seorang hamba, Atif. Cuma ditugaskan untuk memberi peringatan kepada kau."

Secara spontan bibirnya mengoyak senyum membalas senyuman pakcik tersebut. Terbit ketenangan tika memandang wajahnya. Wajah orang soleh mungkin.

"Dengarkan pesanan pakcik ini, Atif." 

Dia menganguk tanda memberikan laluan kepada pakcik itu untuk meneruskan bicaranya.

".. masa yang berbaki kini singkat. Janganlah kau sia-siakan dengan perkara tidak berfaedah. Ingat tugas kau. Ingat amanah kau. Amanah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba dan khalifah di muka bumi Allah ini.

Tugas sebagai seorang daie jangan kau lupakan. Bergeraklah sebagai seorang pejuang. Pejuang yang bakal meninggikan nama Islam. Dunia kini makin tenat, Atif. Kau perlu bergerak. Umat perlukan kau."

"Tapi bagaimana? Saya tidakkan mampu untuk berjuang sendiri."

"Betul, memang kita tidak pernah mampu menegakkan Islam jika kita keseorangan. Oleh itu, berjemaahlah kerana dengan jemaah kita akan kuat dalam perjuangan ini."

"Mana saya nak cari jemaah, pakcik? Kat masjid?"

Tersenyum pakcik itu mendengar soalan keduanya.

"Jemaah yang pakcik maksudkan bukan sekadar mereka yang solat berjemaah, bahkan lebih lagi daripada itu."

Bahu Atif disentuhnya. "Jangan kamu risau. Sekarang ini tetapkan niat dan insya-Allah Allah akan tunjukkan jalannya."

"Ingat pesan pakcik ini, ya." Ditepuk-tepuk pula bahu Atif. "Pakcik pergi dulu." Pakcik itu mula bergerak menjauhi Atif.

"Pakcik! Jangan pergi! Jangan tinggalkan saya!"

Pakcik itu berpaling sebentar ke arah Atif sambil tersenyum dan berkata, "Kembalilah.. masih banyak yang perlu kau lakukan."

Hilang sudah pakcik itu dari pandangan dan segalanya turut menjadi gelap.

*****

"Atif mengalami pendarahan kepala yang sangat teruk, bertambah pula dengan keadaannya sebagai penghidap kanser otak, sewajarnya dia tidak dapat diselamatkan..." 

Ibu Atif sudah menangis teresak-esak di bahu suaminya mendengar bicara daripada doktor itu.

"... tetapi nampaknya umur dia masih panjang. Dia telah melepasi tahap bahaya. Mungkin ini semua berkat daripada doa tuan puan dan orang sekelilingnya. Kini, kita cuma perlu tunggu masa untuk dia kembali normal dan sedarkan diri. Tuan puan jangan bimbang, ya." 

Ayah meraup muka tanda kesyukuran, "Alhamdulillah." Ibu turut tersenyum pahit dan melafazkan tahmid.

"Sekarang bolehlah kami masuk ke dalam bilik dan jagakan Atif, doktor?" soal ibu.

"Boleh, boleh. Silakan."

Ibu mengusap-usap kepala Atif tatkala tiba di biliknya. "Rindunya dekat anak ibu. Cepat sembuh ye, sayang." Satu kucupan diberikan di dahi anaknya.

Kepala ibu dipalingkan tatkala merasakan ada sesuatu yang memegang kepalanya. Ibu berpandangan dengan ayah. Air mata ibu terus meluncur laju. Air mata kegembiraan. Terus dipegang tangan Atif yang berada di atas kepalanya. 

"Atif, ni ibu, sayang."

Tiada balasan mahupun respon yang diberikan. Matanya juga masih tertutup rapat, cuma tangannya sahaja yang erat memegang tangan ibunya.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.


2 comments:

Anonymous said...

Wah menariknya jalan cerita awak ni ^^

Anonymous said...

Sedaplah lagu awak pilih .. Saya suka ^^